Searching...
Tuesday, 31 March 2015
18:51 0

Kisah menyayat hati ND Lala selamatkan nyawa Shila Amzah yang ramai tak tahu


Siri Jejak Bintang kembali minggu ini bersama kisah lebih menarik yang pernah dilalui seorang anak seni Malaysia yang berbakat besar. Hari ini ramai yang kenal Shila Amzah - penyanyi Patah Seribu dan Beribu Sesalan - namun masih ada cerita menarik yang tidak kita ketahui sebelum Shila menjadi seorang artis popular.

Bersama wartawan NORHADIANI BAHAROM(yanie@mediaprima.com.my) menyingkap kisah hidup lampau Shila, 23, atau nama sebenarnya, Nur Shahila Amir Amzah, daripada ayah dan ibunya serta rakan-rakan khas buat anda.

Drama dalam kehidupan sebenar Shila sudah bermula seawal kelahiran beliau lagi ke dunia ini. Puteri sulung kepada pasangan Amir Amzah Salleh (ND Lala), 51, dan Fauziah Sarman, 44, ini selamat dilahirkan kira-kira jam 11 pagi, pada 13 Ogos 1990 di Klinik Shambi, Jalan Medan Tunku, Kuala Lumpur.

Sewaktu lahir Shila seorang bayi yang kecil dan comel, seberat 2.6 kilogram saja. Namun menjelang hari ke-14 Shila menghirup nafas di dunia ini, bapa dan ibu Shila berdepan dengan situasi yang sangat mencemaskan.

“Dia tiba-tiba diserang demam selsema dan mula sesak nafas. Malah kami lihat mukanya sudah kebiruan. Dalam keadaan yang sangat panik itu, saya terus menghubungi doktor dan doktor memberitahu satu saja cara untuk menyelamatkan nyawa Shila sebelum dibawa ke hospital. Saya perlu menyedut hingus dan kahak melalui hidung Shila.

“Dengan penuh tawakal, saya pun ikut nasihat doktor dan barulah kahak itu dan lendiran itu dapat dikeluarkan. Kemudian, barulah Shila dapat bernafas seperti biasa dan wajahnya yang kebiruan tadi menjadi segar semula,”
kata ND Lala.

Fauziah atau mesra disapa Kak Zie pula akui sehingga kini pun insiden cemas itu tetap menghantui ingatannya.

“Masa itu hanya Allah SWT saja yang tahu bagaimana perasaan Kak Zie. Sudahlah baru pertama kali melahirkan anak, sedang berpantang pula, tiba-tiba jadi begitu. Menangis usah cakaplah. Mujurlah Abang ND cepat bertindak, kalau tak... tak tahulah apa yang dah jadi,” katanya bersama genangan jernih di kelopak mata.

Mendirikan rumah tangga pada 19 Oktober 1989, selain Shila, ND Lala dan isterinya turut dikurniakan tiga lagi cahaya mata iaitu Amir Syafiq, 20, Amir Syahir, 17, dan Nur Syuhada, 14.

Sebagai suri rumah sepenuh masa yang membesarkan anak-anak tanpa bantuan pembantu rumah, Fauziah juga mula mengajar Shila membuat kerja-kerja rumah seperti mengemas, membasuh dan memasak, seawal usia sembilan tahun lagi.

“Umur sembilan Shila dah pandai ke dapur. Kak Zie memang ajar memasak dan ketika berusia 10 tahun, dia sudah boleh sediakan hidangan untuk satu keluarga!

“Abang ND paling suka Shila masak kari dan makanan Barat seperti pasta. Shila juga pandai masak tomyam, lauk kampung dan paling dia pakar sekali buat rendang kerang. Itu (rendang kerang) memang terbaik!

“Satu lagi kelebihan Shila, dia ada deria rasa dan masak yang baik. Katakanlah kalau dia suka satu makanan di restoran yang kami kunjungi, balik rumah, dia akan cuba masak dan apa yang mengejutkan Kak Zie masakan itu menjadi macam di restoran malah kadang-kadang lebih sedap lagi. Pelik, sebab dia tidak menyalin pun resipi, sekadar ikutkan naluri rasanya.

“Kadang-kadang itu Shila punya masakan sampai abang ND sendiri tak dapat nak bezakan sama ada Kak Zie atau Shila yang masak,”
ujar Fauziah.

Dia bercerita lagi, Shila juga pandai menjaga adik-adiknya.

“Masa Kak Zie mengandung anak ketiga, adik bawah Shila baru dalam dua tahun lebih dan Kak Zie pula mengalami alahan yang teruk. Sebenarnya, ketika mengandungkan keempat-empat anak Kak Zie, memang Kak Zie selalu alami alahan teruk sehingga terpaksa berulang-alik ke hospital.

“Berbalik pada cerita Shila tadi, dialah yang banyak membantu meringankan beban Kak Zie semasa saya berbadan dua. Sewaktu anak bongsu saya, Shada dilahirkan, dialah yang tolong tengok-tengokkan adik-adiknya. Pendek kata, Shila seorang anak yang rajin dan bertanggung jawab,”
katanya.

Cagar tanah demi bantu Shila

Disifatkan seorang yang suka mendahului kebahagiaan orang lain, Shila di rumah suka menyakat dan mangsa Shila selalunya Shada, adik bongsunya.

“Dia selalu mengacau Shada dan suka tengok kalau adiknya itu merajuk. Tapi dalam suka-suka menyakat adiknya itu, Shada juga yang paling banyak mendapat hadiah daripada Shila. Sebenarnya adik Shila yang kedua itu paling rapat dengannya,” celah ND Lala pula.

Katanya, Shila mula menunjukkan minat menyanyi sedari usia dua tahun lagi. Kalau kalau dengar lagu iklan, dia akan ‘hum’ (bunyian suara tanpa sebutan) lagu iklan kegemarannya itu. Dia mula ikut saya ke studio ketika umurnya empat tahun setengah dan merakamkan suaranya buat pertama kali.

“Saya membawanya ke studio dan dia merayu-rayu hendak merakamkan suara. Saya pun setuju dan akhirnya memuatkan suara Shila dalam lagu Jenguk Jenguk Anak Kita.

“Ketika berusia lapan tahun pula, Shila menyertai pertandingan mencipta lagu-lagu patriotik. Ada lapan finalis dan dia berduet dengan Kaza dalam orkestra yang besar lalu menjadi juara.

“Lucunya selesai pertandingan itu, komposer Helep Yap datang kepada saya dan memberitahu dia melihat ada seorang budak perempuan, ‘very small’ tapi sangat berbakat. Kata Helen lagi, budak kecil itu boleh menyanyi dengan orkestra dan nyanyiannya langsung tidak cacat. Dia tidak tahu rupanya itu anak perempuan saya,”
katanya sambil tertawa.

Sejak pertandingan itu, ND Lala selalu membawa Shila ke majlis rasmi yang membabitkannya. Ketika itulah Shila mula meluahkan hasratnya untuk menjadi penyanyi.

“Kata Shila, dia nak popular macam abah dan kena serbu macam abah. Saya cakap pada dia, jadi penyanyi bukan mudah sebab cabarannya besar. Shila juga kena korbankan sedikit nikmat kehidupan remaja.

“Selepas dia berulang-ulang cakap mahu jadi penyanyi, saya pun buat ‘demo’ dan bawa ke beberapa syarikat rakaman. Sedihnya ketika itu semua syarikat rakaman tidak percayakan bakat Shila.

“Saya tidak berputus asa dan keluar duit belanja sendiri, sampai cagar tanah bapa mentua saya untuk buat album Shila. Saya terbitkan sendiri dan mula usung dia ke hulu ke hilir.

“Malah sebelum masuk program One In Million, semua promoter tak percayakan Shila, jadi saya cuba selitkan Shila dalam setiap persembahan saya. Lebih daripada itu, saya cakap kepada penganjur kalau tiada bayaran tidak mengapa kerana saya lebih mahukan Shila mendapat pendedahan kepada umum. Namun apa yang saya lihat sekarang, semua ini adalah rezeki Shila,”
kata ND Lala.

Sumber : Pennbiru

0 comments:

Post a Comment